Saturday, 31 December 2011

Virus K-Pop kian merebak

MANTAP...penat lelah SNSD terbayar apabila memenangi anugerah MAMA 2011.


KINI bahasa Korea tidak lagi menjadi sempadan antara benua selepas fenomena K-Pop berjaya menembusi ruang antarabangsa. Kehadiran artis Korea bukan hanya berjaya menambat hati peminat di negara mereka sendiri, tetapi virus K-Pop semakin merebak ke seluruh pelusuk rantau Asia sepanjang 2011 ini.
Ternyata pakej artis-artis Korea yang kacak, cantik selain berbakat itu ada aura yang cukup hebat. Ini ditambah dengan publisiti meluas yang diberikan kepada mereka oleh pihak media. 

Sudah pasti nama-nama besar seperti Super Junior, Big Bang, 2NE1, Wonder Girls, Beast, Girls Generation dan 2PM menjadi pujaan ramai remaja terutama gadis.

Sepanjang 2011, ada beberapa di kalangan bintang K-Pop yang dianggap paling mencuri tumpuan. 
Dianggotai enam anak muda, 2PM pastinya berada dalam kelompok teratas artis pujaan Korea apabila jutaan peminat menggilai semua ahli kumpulan itu iaitu Nickhun, Junsu, Junho, Taecyeon, Wooyoung dan Chansung. 


Anak muda yang mula menceburi bidang nyanyian sejak 2008 ini mara bersama sebuah album kompilasi dan tiga single pada tahun ini. Mereka yang bernaung di bawah label JYP Productions juga pernah menjejakkan kaki ke Malaysia pada 25 November lalu.

Walaupun gagal mempertahankan anugerah Kumpulan Lelaki Terbaik ketika Mnet Asian Music Awards (MAMA 2011), ia tetap tidak menggugat populariti mereka dan 2PM berjanji akan terus memberikan yang terbaik buat peminat mereka.

Lee Ji-Eun (IU) pula yang baru berusia 18 tahun, berjaya memenangi kategori Vokal Solo Terbaik menerusi lagu yang dipertaruhkan iaitu Good Day.

Gadis comel itu bukan saja mempunyai bakat dalam bidang nyanyian, tetapi juga pandai berlakon. Dia turut berlakon dalam drama bersiri Dream High dan lakonan IU sebagai Pil Sook berjaya membuktikan usia muda bukan penghalang bagi dirinya untuk diminati jutaan penonton.

Selain itu, bukan mudah pula bagi sebuah kumpulan yang dianggotai sembilan wanita untuk mengekalkan persefahaman. Namun, ia terbukti apabila Girls Generation (SNSD) menang besar ketika MAMA 2011 yang diadakan di Singapura, November lalu.

Memenangi anugerah Artis Terbaik 2011 dan Kumpulan Terbaik Wanita, SNSD dikatakan berjaya mengatasi kepopularan Wonder Girls yang terkenal dengan lagi Nobody. Baru-baru ini, SNSD berkunjung ke kota New York untuk meluangkan masa bersama peminat mereka di sana. Kehadiran mereka nyata berjaya menarik perhatian ramai peminat setia termasuk remaja Amerika.

Bijak bergaya, tidak sedikit pun fesyen di negara itu mempengaruhi mereka untuk mengenakan pakaian seperti masyarakat New York. Mereka tampak selesa berjalan di antara orang ramai untuk ke tempat perjumpaan dengan peminat.

Sementara itu, kumpulan yang baru memulakan kerjaya pada tahun ini, Rania bakal menggegarkan Sunway Lagoon, Petaling Jaya bersempena sambutan tahun baru pada malam ini.

Walaupun masih hijau dalam industri hiburan, namun tiga lagu single mereka sudah pasti cukup menghiburkan.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Jom main churpchurp bersama.. Sila Tekan