KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan menawarkan pembiayaan
kepada 10 mahasiswa terbaik Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)
untuk mengikuti program pertukaran mahasiswa di Universiti Pertahanan Nasional
Indonesia (UPNI) tahun depan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid
Hamidi berkata, UPNM akan memilih 10 mahasiswa berkenaan melalui peperiksaan
akhir semester yang dijangka berlangsung awal tahun depan.
Beliau berkata, program itu adalah sebahagian
daripada insentif kepada mahasiswa cemerlang UPNM supaya mereka sentiasa
mempunyai daya saing, semangat motivasi tinggi di samping tekun belajar dan
aktif dalam bidang sahsiah.
"Saya mahu mahasiswa UPNM sentiasa
mencipta kecemerlangan dalam pelbagai bidang selain akademik dan
ketenteraan," katanya ketika berucap pada majlis Menteri Mentor di
universiti berkenaan semalam.
Ahmad Zahid menarik perhatian bahawa mahasiswa
yang diterima belajar di situ adalah pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia
(SPM) yang cemerlang.
Menurutnya, setiap tahun UPNM menerima
kira-kira 3,000 permohonan tetapi hanya 300 pelajar sahaja dipilih untuk
menyambung pelajaran di institusi berkenaan.
Menteri itu berkata, setiap pelajar menerima
elaun bulanan sebanyak RM1,500.
Namun, ada segelintir mahasiswa yang
meninggalkan UPNM sebelum tamat pengajian kerana dikatakan tidak mampu mematuhi
peraturan dan disiplin ditetapkan, termasuk memakai pakaian seragam ketika
menjalani kursus di situ.
Ahmad Zahid menegaskan, setiap pelajar UPNM
mesti mempunyai daya tahan yang tinggi di samping bersemangat dan berdisiplin
jika mahu berjaya dalam bidang pendidikan ketenteraan, sekaligus menjadi
pemimpin terbaik suatu masa nanti.
Beliau berkata, dalam arus globalisasi masa kini, pegawai
tentera mungkin boleh menjadi pegawai tinggi kerajaan, menteri bahkan perdana
menteri seperti yang berlaku di beberapa negara lain.
No comments:
Post a Comment