Friday, 30 December 2011

SOROTAN 2011: Kejayaan Terbukti, Kehebatan Teruji


PETALING JAYA: Saban tahun, dunia seni tempatan sering dicalit dengan pelbagai warna yang mampu meninggalkan sejarah.

Bukan sahaja kontroversi dan isu-isu panas sebaliknya pelbagai pencapaian dan anugerah yang diraih setiap anak seni tempatan memberi satu impak besar yang mampu mengembangkan industri hiburan tanah air.

Malah, ada segelintir mereka meraih kejayaan tersendiri sehingga ke peringkat antarabangsa sekali gus telah mengharumkan nama negara.
1. BUNKFACE : Selepas kontroversi kononnya kumpulan ini akan dibubarkan, nampaknya isu tersebut telah memanaskan semangat bagi membuktikan mereka
masih kekal dan mampu memberi perubahan dalam industrui muzik tanah air.
Pada Mac lalu, kumpulan punk rock ini berjaya ke peringkat akhir pertandingan Asia Music Festival (HKAMF), Hong Kong dan telah membuka mata pihak luar dengan kehebatan tersebut.
Dalam pada itu, vokalisnya, Shamsul Annuar Mohd Baharum atau Sam turut mencipta kejayaan manis apabila dia dianugerahkan sebagai Komposer Muda Berpotensi.
Anugerah khas ini mengiktiraf bakat-bakat muda berusia 25 tahun ke bawah dan pemenangnya ditentukan oleh ahli Lembaga Pengarah MACP
2. M.NASIR : Buat kali ke 12, penyanyi dan komposer tersohor, Datuk M.Nasir mengungguli Anugerah Komposer Dengan Pendapatan Terbanyak.
Ternyata lagu-lagu penyanyi yang dipaggil 'Sifu' ini masih masih lagi menyengat halwa telinga pendengar.
3.BUNOHAN : Filem arahan Dain Said ini sememangnya dinanti-nantikan apatah lagi filem lakonan Faizal Hussein, Zahiril Adzim serta Pekin Ibrahim itu telah mencatat sejarahnya yang tersendiri sebelum ditayangkan pada 8 Mac 2012.
Bunohan telah mengadakan tayangan perdana mereka di Festival Filem Antarabangsa Toronto pada bulan September lalu.
Malah filem ini juga berjaya meraih Anugerah NETPAC (rangkaian untuk promosi pawagam Asia) di Filem Festival Taipei Golden Horse 2011 pada November lalu selepas membuat tayangan perdana di peringkat Asia.
Ini sekali gus memberi peluang besar buat filem ini apabila dipilih oleh Universal Pictures untuk diedarkan ke beberapa negara termasuk United Kingdom (UK), Perancis, Jerman, Australia dan New Zealand.
4. KONSERT FENOMENA 30 TAHUN SEARCH : Rasanya, belum lagi mana-mana penyanyi solo atau yang berkumpulan mampu mengumpulkan angka penonton lebih 10,000 orang untuk menyaksikan sesebuah konsert apatah lagi yang melibatkan konsert berbayar.
Namun, kumpulan legenda, Search mampu melakukannya dan baru-baru ini di mana konsert jelajah tersebut yang diadakan di Pusat Konvensyen dan Pameran MINES (18 Disember) sahaja telah menarik seramai 15,000 penonton.
Malah konsert jelajah yang diadakan di kompleks Sukan Tawau, Sabah juga berjaya mengumpulkan sebanyak 11,000 orang penonton.
Jumlah ini menunjukkan satu pencapaian besar buat kumpulan tersebut kerana belum pernah ada lagi sesebuah konsert berbayar yang mampu menarik jumlah penonton besar.
5. YUNA : Yunalis Zarai atau Yuna yang mula popular dengan lagu Dan Sebenarnya telah memulakan langkah besarnya pada awal tahun ini sering berulang alik dari Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) bagi mengembangkan bakatnya.
Misinya untuk melebarkan bakat muzik secara global membuahkan hasil apabila dia telah dilamar oleh sebuah syarikat rakaman antarabangsa, Fadel Label.
Sepanjang pembikinan lagu-lagu baru di AS, Yuna semakin menjadi perhatian penggiat muzik AS lebih-lebih lagi apabila laman portal popular antarabangsa, Billboard.com membincangkan tentang gaya muzik versatil Yuna dalam membawakan lagu saduran daripada kumpulan Nirvana, Come As You Are.
Penyanyi ini juga bakal melahirkan album debut Inggeris penuh pada awal tahun depan yang akan menampilkan kolaborasi bersama beberapa figura hebat persada seni antarabangsa seperti Pharrell Williams dan Guy Sebastian.
Baru-baru ini, Yuna turut mengadakan persembahan di acara MTV Iggy's Best di Times Square, New York.
6. LISA SURIHANI : Satu pencapaian yang menarik boleh disimpan dalam profil pelakon jelita, Lisa Surihani apabila dia menerima Anugerah Pencapaian Khas Pergerakan Puteri Umno pada Perhimpunan Agung pergerakan tersebut di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) baru-baru ini.
Dalam pada itu, Lisa yang bakal berkahwin dengan Yusry Abdul Halim itu merupakan Pelakon Wanita Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2010/2011.
7. HIKAYAT MERONG MAHAWANGSA : Filem terbitan KRU Studios, Hikayat Merong Mahawangsa telah dinobatkan sebagai Filem Terbaik pada malam kemuncak Festival Filem Malaysia ke 24.
Selain membolot pengiktirafan utama, filem arahan Yusry Abdul Halim itu turut meraih tujuh anugerah lain iaitu Skor Muzik Asal Terbaik, Kostum Terbaik, Sinematografi Terbaik, Anugerah Kesan Visual Terbaik, Poster Filem Terbaik dan Lagu Tema Asal Terbaik dan Penataan Seni Terbaik
Filem yang menelan belanja sebanyak RM8 juta itu bukan sahaja ditayangkan di panggung tempatan, malah sebanyak 25 buah negara telah membeli hak penyiarannya dengan mengubah judulnya kepada The Malay chronicle: Bloodlines.
8. SYAMSUL YUSOF : Sekali lagi menjadi pengarah muda terbaik, anak bujang kepada penerbit dan pengarah filem Datuk Yusof Haslam ini diangkat sebagai Pengarah Filem Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-24 (FFM24).
Kejayaan Syamsul itu diiktiraf barisan juri menerusi air tangannya, KL Gangster.
Dek kerana kejayaan besar yang juga meraih kutipan tiket sebanyak RM11.74 juta, pembikinan KL Gangster 2 kini sedang dijalankan.
9. DAVID TEO : Ketua Pegawai Eksekutif Metrowealth International Group (MIG) telah menerima Penganugerahan Tauliah (Kehormat Dalam Angkatan Sukarela Persekutuan-ASP) yang membawa gelaran Mejar (Kehormat).
Majlis penganugerahan yang disempurnakan oleh Brigedier Jeneral Mohd Nazir bin Mami (Panglima 12 Briged) ini diadakan di Pejabat Panglima 12 Briged, Kem Wardieburn Setapak, Rabu lalu.
Penganugerahan tersebut diberi kerana David begitu komited melibatkan diri dalam pasukan Askar Wataniah di samping mempromosikan pasukan tersebut kepada orang ramai terutama golongan belia.
10.OSMAN ALI : Satu pencapaian yang amat membanggakan, selepas menerima pelbagai anugerah menerusi filem Cun, Osman melakar sejarah apabila filem adaptasi arahannya, Ombak Rindu berjaya menjadi filem cinta pertama yang mempunyai kutipan tiket yang tertinggi sebanyak RM11.2 juta.
Mungkin kejayaan ini telah membayar kekecewaannya terhadap beberapa buah filem arahannya yang gagal mendapat kutipan cemerlang di pawagam.

1 comment:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Jom main churpchurp bersama.. Sila Tekan