Thursday 29 December 2011

Ketokohan Sheikh Amir Sayyid Uthman



Imam Besar Masjid Amru Al-Ash, di Kaherah, Mesir, Syeikh Muhammad Sayyid Hasanin Jibril (kiri) atau lebih dikenali dengan nama Sheikh Jibril yang terkenal dengan kemerduan bacaan Al-qurannya dan antara yang pernah menjadi anak murid kepada tokoh Al-Quran yang sangat terkenal iaitu Sheikh Amir bin Sayyid Uthman.


SEORANG tokoh Quran yang masyhur di zamannya dan mempunyai ramai murid yang berkaliber dalam ilmu al-Quran ialah Sheikh Amir bin Sayyid Uthman. Beliau dilahirkan di Mesir pada tahun 1900 Masihi.
Sheikh Amir menghafaz al-Quran semasa kecil dengan seorang guru yang bernama Sheikh Atiyyah Salamah iaitu pada tahun 1911.

Seterusnya beliau mendalami ilmu tajwid, Qiraat Sepuluh melalui tariq Syatibiyyah dan Durrah dengan guru yang bernama Sheikh Ibrahim Musa Bakr al-Bannasi.
Semasa di Kaherah, Sheikh Amir mendalami Qiraat Sepuluh Kubra dengan seorang pakar dalam bidang itu iaitu Sheikh Ali Ibn Abdulrahman al-Subayyi'. Bagaimanapun, ketika beliau membaca ayat 41 surah Hud, Juzuk 12, Sheikh Ali Subaiyyi' meninggal dunia.
Semangatnya tidak patah dengan kematian gurunya. Beliau memulakan semula talaqqi Qiraat Sepuluh Kubra dengan seorang murid kanan Syeikh Ali Subayyi' iaitu Sheikh Hummam Qutb Abdul Hadi. Seterusnya, berjaya memperolehi ijazah pada tahun 1927.
Pada pengajian di peringkat ijazah, Sheikh Amir berjaya menguasai ilmu syariah dan bahasa arab di Universiti Azhar. Setelah menguasai banyak ilmu, Sheikh Amir mula mengajar al-Quran dan qiraat di rumahnya.
Beliau juga berkhidmat sebagai guru qiraat di Fakulti Bahasa Arab di Universiti al-Azhar iaitu antara tahun 1945 hingga tahun 1968.
Seorang muridnya, Sheikh Ibrahim Akhdar yang memegang jawatan Sheikh Qurra Masjid Nabi di Madinah dalam satu temu bualnya memuji kehebatan Sheikh Amir.
Beliau menyatakan Syeikh Amir seorang yang alim dalam bidang al-Quran dan qiraat dan menghabiskan masanya dengan mengajar Quran. Pada setiap masa, ada sahaja orang yang membaca al-Quran di hadapan Sheikh Amir hatta ketika beliau menunggu teksi atau ketika musafir dalam kapal terbang sekalipun.
Antara Sheikh terkenal yang talaqqi al-Quran dengan Sheikh Amir ialah Sheikh Mahmud Khalil Husari, Sheikh Mustafa Ismail, Sheikh Abdul Basit, Dr. Aiman Suwaid, Dr. Ali Huzaifi dan ramai lagi.
Sheikh Amir dilantik sebagai Sheikh Qurra Mesir pada tahun 1980 menggantikan Sheikh Khalil Husari yang meninggal dunia pada tahun tersebut.
Pada waktu yang sama beliau dilantik sebagai penasihat dan anggota lajnah tashih al-Quran di Mujjama' Malik Fahd, Madinah al-Munawwarah.
Sheikh Jibril yang selalu datang ke Malaysia juga pernah bertalaqqi al-Quran dengan Sheikh Amir. Beliau menceritakan hari-hari terakhir Sheikh Amir di Madinah sebelum kematiannya.
Semasa berada di wad hospital, Sheikh Amir membaca al-Quran sehingga khatam dan memulakan surah al-Fatihah serta lima ayat surah al-Baqarah. Sejurus selepas itu beliau meninggal dunia.
Urusan pengkebumian Sheikh Amir mengalami sedikit masalah pada mulanya kerana beliau meninggal dunia pada hari cuti dan pasport serta dokumen pengenalan dirinya dipegang pihak majikan.
Ia menyebabkan pihak polis menolak urusan pengkebumian kerana tidak mempunyai dokumen lengkap. Bagaimanapun, anaknya Ibrahim terpandang mushaf al-Quran di atas meja ketua polis tersebut dan membuka mushaf seraya berkata inilah dokumen pengenalan ayahnya.
Nama Sheikh Amir Sayyid Uthman teratas dalam senarai nama lajnah tashih al-Quran. Ketua polis tersebut menangis dan memberi layanan terbaik untuk urusan pengkebumian Sheikh Amir.
Semasa jenazahnya dibawa ke Masjid Nabi, Sheikh Ibrahim Akhdar imam masjid Nabi ketika itu, terpandang Ibrahim anak Sheikh Amir menangis dan bertanya kenapa menangis. Beliau menjawab, ayahnya meninggal dunia.
Sheikh Ibrahim marah kepadanya kerana tidak memaklumkan kematian Sheikh Amir. Solat jenazah diimamkan oleh al-Allamah Sheikh Salih ketua imam Masjid Nabi.
Seterusnya jenazah Sheikh Amir dikebumikan di perkuburan Baqi' bersama dengan para sahabat, syuhada dan salihin.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Jom main churpchurp bersama.. Sila Tekan