BACHOK: Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta rakyat
Kelantan agar jangan menolak Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) RM500 yang
diberikan oleh kerajaan persekutuan.
"Apa yang diumumkan oleh (Perdana Menteri
Datuk Seri) Najib (Tun Razak)(bantuan) sebanyak RM500 itu, saya minta rakyat
terima.
"Yang gantung (kain rentang) tu mengarut
sahaja...nak bagi berapa pun ambil tapi bila mengundi, undi bulan,"
katanya sambil menafikan beliau ada kaitan dengan tindakan pihak tertentu yang
menggantung kain rentang yang tertera gambarnya dan kenyataan bahawa pemberian
sebanyak RM500 itu adalah haram.
Pihak tidak bertanggungjawab yang mengantung
kain rentang itu berbuat demikian kerana kecewa, katanya kepada pemberita
semasa meninjau hakisan akibat ombak besar di kawasan pantai di sini, hari ini.
Mengenai isu membabitkan bekas Pesuruhjaya PAS
Selangor Datuk Dr Hasan Ali dan dan bekas Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat
Isa yang lantang mengkritik parti itu sebelum ini, Nik Abdul Aziz menganggap
isu itu sudah selesai dan tidak berbangkit lagi.
Menteri Besar Kelantan itu berkata ini kerana
kedua-dua pemimpin PAS itu terutama Hasan telah meminta maaf kepada parti dalam
satu "pertemuan muhibah" yang diadakan di kediaman rasmi menteri
besar itu di JKR 10 semalam.
"Pertemuan ini adalah dianjurkan oleh
Presiden PAS (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) dan syukur kepada Allah Taala Datuk
Hasan telah menarik balik kenyataannya yang dianggap sensitif.
"Ini tanda kelakian dan anak jantan
kerana dia ikhlas menarik balik kenyataan dan memohon maaf. Ini ajaran agama
dan bukan senang untuk mana-mana yang buat salah untuk minta maaf dan menarik
balik," katanya.
Hasan dan Nasharudin baru-baru ini lantang
mengkritik PAS yang disifatkan mereka telah lari daripada perjuangan asal untuk
menubuhkan negara Islam, namun Hasan kemudiannya telah memohon maaf mengenai
perkara itu.
Nik Abdul Aziz berkata beliau telah meminta
PAS pusat agar mengadakan jamuan kesyukuran bagi menandakan tamatnya isu
berkenaan.
Ketika ditanya mengenai kedudukan Nasharudin
sebagai calon, beliau berkata: "Terpulang kepada pengundi di Bachok (sama
ada mahu menerima atau sebaliknya)".
Mengenai hakisan di pantai berkenaan, Menteri
Besar berkata kerajaan negeri akan membantu menyelesaikan masalah itu mengikut
kemampuan yang ada.
"Dalam bidang
kerajaan negeri kita akan buat dan kalau Pusat biar Jabatan Pengairan dan
Saliran tentukan. Sekarang kita sedang menilai kos yang diperlukan,"
katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment